10 tahun senggugut

SETIAP kali saya datang haid, saya selalu sakit. Saya sudah banyak berubat dan makan ubat tetapi masalah tetap sama.

Apabila ke hospital, doktor hanya memberikan ubat tahan sakit yang bertahan untuk sementara. Selepas tiga jam, sakit datang semula. Saya mengalami masalah ini hampir 10 tahun dan kini umur saya 29 tahun. Ketika tinggal di Sarawak dulu, saya pernah berjumpa doktor pakar tetapi masalah tidak reda. Apakah yang sebenarnya saya alami dan apa yang harus saya lakukan kini?

ROSMINI,
Segamat, Johor.

ANDA dinasihatkan berjumpa doktor pakar sakit puan sekali lagi. Senggugut boleh disebabkan oleh penyakit seperti endometriosis dan seumpamanya.


Pemeriksaan doktor dapat mengenal pasti sekiranya terdapat cyst pada ovari. Melalui ciri cyst terbabit, kemungkinan jenis cyst atau penyakit dapat diketahui. Contohnya, cyst endometriosis (yang lebih lazim disebut endometrioma atau cyst coklat) mempunyai selaput dinding yang tebal serta kandungan bersifat homogenous. Dalam keadaan lain, diagnosis penyakit sukar dipastikan, mungkin telahan dapat dibuat sekiranya kedudukan rahim serta kedua-dua ovari anda tidak pada lokasi sepatutnya, ia juga dapat dibantu dengan ujian darah tertentu (contohnya Ca125). Dengan tempoh senggugut yang sudah bertahun lamanya, anda kini mungkin ingin memilih penyiasatan lanjut secara pembedahan teropong (laparoskopi diagnostik) bagi membolehkan doktor melihat secara langsung ke dalam ruang pelvis anda.


Bukan itu saja, sekiranya terdapat penyakit, doktor dapat membuang atau membersihkannya pada masa yang sama.

0 comments: