Pasangan tak normal

SAYA baru tiga bulan berkahwin. Masalah yang saya hadapi ialah, suami tidak dapat klimaks seperti mana lelaki normal. Selepas kami bersama, suami terpaksa menggunakan tangannya untuk mengurut zakarnya bagi membolehkan dia klimaks.

Selepas hampir 20 minit mengurut baru dia memasukkan zakar semula ke dalam alat sulit saya dan mendayung untuk beberapa waktu sebelum dia boleh melepaskan air maninya di dalam rahim saya.

Saya ingin tahu apa menyebabkan suami saya jadi begitu dan adakah jalan penyelesaian bagi membolehkan suami saya klimaks seperti lelaki normal?

ITA

Sungai Petani

Proses ereksi dan ejakulasi atau klimaks tidak sama. Ereksi boleh berlaku kepada mana-mana lelaki yang mempunyai sistem urat saraf dan sistem perjalanan darah yang sihat mengalami rangsangan seksual ketika dalam perasaan ghairah.

Apabila perasaan ghairah itu reda, rangsangan seksual pun tiada lagi, maka ereksi yang berlaku akan hilang tenaganya dan layu tanpa ejakulasi.

Jika ketika ereksi berlaku dan rangsangan sentuhan dilakukan kepada bahagian zakar yang merangsangkan, lelaki itu dapat menghayati rangsangan yang membina sehingga dia sampai ke kemuncak rangsangan iaitu ejakulasi akan berlaku.

Jadi dalam keadaan biasa apabila lelaki itu bercumbu dengan pasangan dengan hajat melakukan seks penetratif, dia akan menusuk ereksi ke dalam faraj seketika ereksinya menjadi padat dalam keadaan pasangan bersedia untuk menerima kemasukan ereksi dan seterusnya dia cepatkan tusukan untuk menikmati rangsangan membina yang mana pada waktu rangsangan itu kemuncak dia akan mencapai ejakulasi.

Apa yang berlaku kepada pasangan anda ialah, dia perlu membina rangsangan seksualnya dengan menggunakan tangannya sebelum berpindah kepada faraj anda.

Dia mungkin perlukan sentuhan kasar yang diberi oleh tangannya sebelum dapat sampai ke kemuncak dan ketika itu baru dia sambungkan pergerakan tusukan lembut ke dalam faraj anda.

Ini mungkin dilakukannya secara sengaja kerana dengan cara memasukkan ereksinya terus ke dalam faraj anda, ini tidak dapat membantu meningkatkan rangsangan diperlukannya. Ini mungkin kesan amalan onani yang dipratikkannya dulu.

Jika dia terikat dengan cara ini, memang sukar untuknya melakukan hubungan seks penetratif seperti lelaki lain yang lebih teruja dengan sentuhan kelembutan faraj.

Mungkin anda boleh cuba membantunya dengan melakukan rangsangan zakar dengan tangan anda mengikut seleranya dan apabila dia rasa macam nak kemuncak, anda boleh alihkan ereksinya ke dalam faraj anda sambil mengemut faraj dengan padat.


Mungkin dengan perasaan seronok yang dialami daripada kemutan faraj, dia boleh memberi masa lama dalam faraj atau terus ke faraj tanpa mendapat rangsangan tangan di kemudian hari.

Jika semua ini dah dicubanya dan didapati tidak berkesan, saya berpendapat anda tidak perlu buat apa-apa dan terima keadaan itu.

Asalkan dia boleh memancutkan air maninya di dalam faraj, itu sudah mencukupi. Tanpa ejakulasi dalam faraj, sukar untuk anda hamil nanti.

Warna berubah

RAMAI ketakutan sebaik menyedari perubahan pada alat sulit mereka. Bagi lelaki, perubahan warna pada zakar sesuatu yang membimbangkan, seolah-olah menandakan pengakhiran aktiviti seksual mereka.

Ini terbukti apabila berdasarkan pengalaman, saya menerima banyak soalan dan berjumpa pesakit yang ingin mengetahui punca warna pada kepala zakar mereka tidak sekata, seolah-olah ada ‘peta’.

Yang terbaru, saya menerima aduan daripada seorang pegawai muda yang melahirkan kebimbangan dengan hubungan kelamin apabila isterinya mengadu ‘tidak puas’.

Pada fikiran pesakit, ada dua kemungkinan bagi ‘kelemahan’ itu, sama ada kerana zakarnya yang bengkok atau dia menghidap penyakit kelamin kerana warna kepala zakar seperti peta.

Pada perspektif rawatan Sakit Tuan, apabila pasangan menyuarakan dia tidak puas dalam hubungan kelamin, perkara yang tidak memuaskan itu perlu diketahui. Jika tidak, anda sentiasa teragak-agak dan berfikir yang bukan-bukan.

Ramai sering menyalahkan zakar. Yang pasti, jika isu tidak puas itu kerana bentuk zakar, tentu isteri memberitahu secara terbuka. Namun, zakar bengkok atau melengkung ketika ereksi memang biasa.

Ia bukan masalah selagi tidak menghalang kemasukan ereksi ke dalam faraj atau menyukarkan hubungan seksual dengan pasangan.

Jika zakar benar-benar melengkung ketara, seseorang lelaki itu boleh cuba menggunakan alat Andropenis untuk meluruskan ereksi.

Mengenai rupa penghujung zakar atau ‘Glans Penis’, memang ada penghujung zakar yang kelihatan seperti itu. Keadaan ini dikenali sebagai ‘Geographical Penis’ atau penghujung zakar peta.

Ia bukan petanda penyakit atau masalah serta tiada kena mengena dengan masalah cepat klimaks. Anda dan pasangan hanya perlu terbuka dalam hal berhubung hubungan seksual dan jika tidak dapat menangani bersama, elok dapatkan bantuan doktor atau kaunselor.

Pasangan ini sebenarnya perlu lebihkan sentuhan intim atau melakukan seks ‘outer-course’ atau seks luaran. Apabila isteri sampai ke pintu kemuncak, anda boleh lakukan seks ‘inter-course’ atau seks penetratif.

Untuk tahan lama, anda perlu bergerak perlahan tetapi dalam keadaan kemut supaya dayungan itu dinamik dan dapat dirasai pasangan, selain menggunakan cincin penambat zakar yang dikaji dan mendapat kelulusan.

Hubungan buntu

TEKNIK dan cara melakukan hubungan suami isteri tidak pernah dibincang ketika menjalani kursus perkahwinan, malah tip atau panduan melakukan hubungan kelamin juga tidak pernah diberi kepada peserta kursus perkahwinan.


Oleh itu, ada pengantin baru yang jahil mengenai hubungan seksual dan mereka semakin tertekan apabila tidak tahu menjalankan tanggungjawab itu, contohnya siapa sepatutnya memulakan adegan sentuhan intim dan bagaimana isteri perlu bersedia untuk memudahkan hubungan.


Tidak hairan jika ada pasangan berdepan jalan buntu kerana gagal melakukan seks penetratif, terutama sejak mencubanya pada malam pertama.


Sebenarnya pasangan pengantin tidak perlu rasa janggal untuk membicarakan masalah dalam kamar tidur mereka. Ketika zaman nenek moyang kita dulu masalah ini dianggap rahsia.


Malah, perkara ini dirujuk kepada bomoh atau dukun kerana percaya mengenai perbuatan ilmu hitam yang kononnya alat sulit isteri dikunci atau alat kelamin suami dimatikan oleh orang yang tidak sebulu dengan mereka.


Selepas mendapat semangat baru, timbul keyakinan diri dan akhirnya sebilangan mereka dapat bersetubuh juga. Yang gagal akan terus gagal.


Sebenarnya untuk melakukan sesuatu hubungan, suami perlu mencapai ereksi dan isteri perlu memberi kerjasama untuk menghalakan ereksi suami. Isteri perlu ‘buka’ pintu faraj iaitu dengan cara tidak mengemut atau seperti mahu buang air kecil atau buang air besar.


Jika tidak buat begitu, ia memang menyakitkan, lebih-lebih lagi jika suami tidak tahu hala tuju dan hanya menolak ereksi antara bibir serta menggesel tisu sensitif di bahagian itu. Jika pintu faraj dicengkam seperti mengemut yang biasa wanita lakukan apabila dalam keadaan seriau (cemas) atau panik, ereksi suami tidak dapat masuk.


Dalam keadaan seriau, wanita itu tidak dapat mengawal pembukaan faraj dan mencengkam dengan kuat. Keadaan ini dikenali sebagai ‘vaginismus’ dan suami berasa seperti ada benda menghalang kemasukan.


Sesetengah suami yang juga tertekan akibat keadaan itu mendapati ereksi mereka tidak lagi kuat dan mereka mengalami mati pucuk. Suami yang masih mahu mencuba walaupun kebiasaannya gagal akan rasa hampa dan mereka tidak lagi teruja kepada isteri.

Mereka masih ada ereksi pagi dan boleh mencapai ereksi padat apabila teruja dengan rangsangan seksual, cuma mereka tidak yakin untuk bersetubuh kerana takut gagal lagi.


Nasihat saya, jika faraj isteri didapati kesat, lebih baik guna gel pelicin bagi membantu melicinkan ‘jalan’, jika masih gagal sebaik-baiknya cuba pula cari jalan lain seperti berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.


Hubungan keintiman seksual adalah fitrah semula jadi semua makhluk Tuhan dan lebih lagi untuk manusia yang berakal. Jangan biarkan diri anda dan pasangan hanyut dalam kejahilan.


Dalam dunia serba moden, masalah seperti ini ada penawarnya. Hubungan keintiman seksual bukan saja untuk mendapat cahaya mata, malah lebih daripada itu.


Sesiapa yang menghadapi masalah ini sewajarnya perlu mendapatkan rawatan dan bimbingan lebih sempurna supaya dapat hidup dalam suasana saling intim.

Perit setiap kali buang air kecil

SAYA berusia 19 tahun dan sudah berkahwin. Masalahnya, sejak akhir-akhir ini bahagian faraj saya sering berasa pedih dan perit apatah lagi selepas membuang air kecil.

Ini membuatkan saya rasa tidak selesa untuk melakukan sebarang pekerjaan.

Baru-baru ini, saya ada terbaca di satu artikel yang menyatakan peranakan seseorang itu turun dan menyebabkan rasa sakit setelah membuang air kecil.

Untuk pengetahuan doktor, saya juga kerap melakukan hubungan intim bersama suami.

Adakah kekerapan mengadakan hubungan intim itu boleh mengakibatkan faraj berasa pedih selepas membuang air kecil?

ANN
Kuala Lumpur


PERIT setelah membuang air kecil mungkin berpunca daripada luka, sama ada luka melecet akibat hubungan seks atau luka melecet akibat jangkitan kuman.

Bukan mudah untuk rahim jatuh, lebih-lebih lagi pada usia anda serta belum pula melahirkan anak. Rahim juga tidak berulang kali turun naik (setelah mengurut). Pemeriksaan doktor dapat mengesan lokasi luka terbabit. Rawatan yang bersesuaian juga boleh diberikan.

Saiz telur tidak seimbang

SOALAN,

SAYA mempunyai skrotum (telur) yang tidak seimbang saiznya. Di sebelah yang satu lagi ke bawah sedikit, manakala yang satu lagi ke atas. Saya pernah terdengar saiz skrotum yang tidak seimbang tanda seseorang itu mandul atau ada masalah dengan organ pembiakannya.

Air mani juga kadangkala keluar dengan tidak sengaja sewaktu tidur dalam suasana yang sejuk, walaupun tanpa mimpi basah. Persoalan saya, adakah saya mempunyai masalah kemandulan?

ALI
Muar, Johor



JAWAPAN

Kerandut atau kantung buah zakar atau ‘scrotum’ menampung sepasang buah zakar. Sememangnya kedua-dua kantung buah zakar itu tidak seimbang dalam keadaan kendur dan keadaan ini berlaku apabila kedudukannya tidak seimbang atau tidak sama.

Kerandut sebelah kiri lebih kerap kelihatan kendur berbanding kerandut sebelah kanan dan ada juga keadaan yang mana kedua-duanya seimbang dan kemungkinan ia berlaku amat kurang.

Bagaimanapun, apabila kerandut buah zakar mengecut, kedua-dua buah zakar akan kelihatan seimbang. jika kebetulan kedua-dua buah zakar itu tidak masuk ke dalam kerandut, ia kelihatan kecil dan kosong. Jika satu saja buah zakar ada dalam kerandut, bahagian yang tiada buah zakar akan mengecut.

Ketidakseimbangan buah zakar itu perlu dirujuk kepada doktor untuk kepastian jika lelaki itu was-was mengenai kesihatan anggota kelaminnya.

Dingin selepas ikat peranakan

SOALAN,
SAYA dan suami sudah berkahwin selama hampir 10 tahun. Kami bersetuju untuk tidak mempunyai anak lagi dan saya sudah mengikat peranakan saya awal tahun ini.

Masalahnya, hubungan antara kami semakin renggang dan kami tidak bersama seperti dulu (hubungan kelamin kami kini hanya dua atau tiga kali sebulan).

Saya agak buntu, adakah tindakan mengikat peranakan memberikan kesan sedemikian?

Sejak saya melalui proses mengikat peranakan (April hingga kini, Disember), saya tidak lagi didatangi haid. Apakah punca keadaan itu?

ISTERI RISAU
Melaka

JAWAPAN

MENGIKAT tiub falopio hanya menutup laluan tiub falopio. Memandangkan tiub falopio tidak mengeluarkan hormon terutama hormon keperempuanan (estrogen dan progesteron), maka mengikat tiub falopio sepatutnya tidak mengganggu paras hormon anda.

Masalah hubungan seks adalah sesuatu yang lebih kompleks dan lazimnya mempunyai beberapa punca sekal igus. Anda dan suami dinasihatkan berbincang dengan doktor anda secara lebih mendalam.

Setelah doktor anda menerangkan secara visual mengenai prosedur pembedahan mengikat tiub falopio, anda mungkin akan lebih memahami dan tidak menyalahkan pembedahan itu saja.

Lazimnya, setelah wanita mengetahui tidak perlu lagi bimbang akan kemungkinan hamil, ia bukan saja melancarkan haid, malah mengeratkan keintiman hubungan seks.

Kebimbangan atau masalah anda yang mungkin tidak disedari juga mungkin memberi kesan kepada ovulasi anda sehingga menyebabkan gangguan haid.

Namun, eloklah anda juga memeriksa ujian air kencing bagi memastikan ia bukan disebabkan kehamilan. Ada juga laporan mengenai kehamilan setelah mengkat tiub falopio.

Hasil hubungan tersasar

SOALAN,


KAMI baru berkahwin lebih kurang sebulan. Masalah dihadapi ialah selepas pancutan dilakukan, air mani keluar semula dari faraj. Masalah ini berlaku setiap kali melakukan hubungan intim.

Pelbagai cara kami lakukan supaya air mani tidak keluar, termasuk meletakkan bantal di bawah punggung isteri, tetapi air mani tetap keluar. Kami bimbang jika masalah ini berterusan dan kami susah mendapat cahaya mata.

IMA
Kuala Lumpur


JAWAPAN


Sememangnya air mani akan terkeluar dari faraj selepas ejakulasi dan fenomena ini dikenali sebagai ‘effluvium seminis’ atau limpahan keluar air mani.

Jika kebetulan perempuan itu juga menghasilkan banyak cecair dari farajnya, cecair yang keluar itu digelar ‘effluvium feminis’. Cecair ini mengandungi campuran air mani suami dan cecair faraj perempuan.

Limpahan cecair akan berkurangan atau dapat dikawal jika wanita itu tidak kemut atau tidak menutup paha atau tidak meluruskan kaki selepas selesai seks.

Jika kebetulan rahim wanita itu ‘retroverted’ atau terlentuk ke belakang, limpahan air mani akan berlaku juga walau sudah cuba mengawalnya.

Cara paling sesuai ialah untuk wanita itu mengubah posisi ketika bersetubuh. Posisi yang digalakkan untuk wanita mempunyai rahim yang terlentuk ke belakang ialah posisi kemasukan ereksi suami dari belakang dengan isteri menunduk. Posisi ini dikenali sebagai ‘genupectoral position’.

Sangat mustahak untuk anda kekalkan ereksi dalam faraj ketika anda mendayung. Jangan keluar masuk faraj ketika mendayung kerana setiap kali anda masuk, angin pun akan masuk.

Selepas selesai seks, perempuan itu tidak digalakkan bangun untuk mencuci anggota kelamin. Pergerakan itu akan membuatkan air mani terkeluar dan mencuci anggota kelamin akan membunuh sperma.

Selain itu, jika anda dan pasangan merancang untuk cepat hamil, pastikan anda berdua bersetubuh sekurang-kurangnya tiga kali seminggu atau lebih terutama pada waktu subur isteri.

Jika isteri anda mempunyai putaran haid yang ‘regular’, waktu suburnya bermula dengan kehadiran lendir umpama putih telur belum masak.

Jika sudah masuk enam bulan (jika umur isteri pada lingkungan akhir 20-an atau awal 30-an) atau setahun (jika umur isteri awal 20-an) belum ada tanda kehamilan, sebaik-baiknya anda berdua berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan awal kesuburan.