Cecair putih tanpa henti

SAYA mengalami masalah cecair putih seperti air mazi yang keluar daripada hujung zakar.

Walaupun dalam kuantiti sedikit, ia keluar secara terus menerus. Pada hujung kepala zakar juga berasa gatal. Adakah ini disebabkan jangkitan kuman? Apakah cara untuk menyelesaikannya? IMI
Bukit Beruntung, Selangor
Salur kencing lelaki mengandungi lapisan mukosa yang mengandungi banyak pepundi kecil (pepundi littres) yang menghasilkan cecair putih jernih yang membuatkan salur itu sentiasa lembap.


Ini memudahkan air kencing keluar dengan lancar dan juga untuk kelancaran ejakulasi.


Dalam keadaan separa ereksi, darah akan masuk dengan banyak dalam lapisan mukosa dan membuatkan mukosa itu aktif menghasilkan lelehan jernih.


Apabila zakar mengendur atau mengecil, lebihan cecair akan kelihatan di penghujung zakar.


Ini yang dikatakan air mazi. Ia najis dan boleh membatalkan air sembahyang. Dalam keadaan teruja, cecair itu akan dihasilkan dengan banyak dan kadangkala ia boleh mengganggu hubungan kelamin apabila lelaki berasa kurang selesa dan hilang tumpuan untuk bersetubuh.


Keadaan ini dikenali sebagai ‘dhant’ di Pakistan dan Afghanistan. Lelaki negara itu menganggapkan fenomena ini sebagai sesuatu masalah kesihatan yang mengancam syahwat mereka! Sebenarnya, ia hanya lelehan air mazi yang berlebihan dan keadaan ini di kalangan lelaki Melayu dikenali sebagai ‘resdung zakar’.


Keadaan ini tiada rawatan dan cecair yang keluar itu boleh digunakan sebagai pelicin ketika nak bersetubuh dengan pasangan! Di sebalik fenomena semula jadi itu, wujud keadaan yang mana lelehan jernih dari salur kencing ini terjadi akibat kesan jangkitan kuman dan kuman virus akibat hubungan seksual rambang, sama ada melalui persetubuhan atau melalui seks oral tanpa penggunaan alat pencegah (kondom).


Jika anda memang ada melakukan seks rambang dengan sesiapa dan mengalami masalah ini, kemungkinan besar anda menghidap jangkitan penyakit kelamin dari kuman gonorrhea atau kuman virus chlamydia.


Anda perlu jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan ujian darah atau ujian pemeriksaan cecair untuk mengesan kuman atau kuman virus itu kerana rawatan untuk jangkitan itu tidak sama.

0 comments: