Kitaran haid tidak menentu

SAYA berusia 15 tahun dan tidak pernah melakukan hubungan seks. Saya berbadan gempal dan masalahnya, haid saya tidak menentu.

Saya mula datang haid pada umur 13 tahun dan haid saya ada kalanya datang dua bulan sekali. Kali terakhir saya didatangi haid pada Oktober tahun lalu.


Untuk pengetahuan puan, saya mempunyai masalah peribadi dan ia membuatkan saya tertekan. Adakah masalah tekanan dan tubuh yang gempal menjadi punca masalah haid saya ini? Apakah yang harus saya lakukan?

NUR,
Masai, Johor.

STRES atau tekanan, kegemukan (lebih-lebih lagi jika mencapai tahap obes iaitu BMI 30kgm2 ke atas), penyakit tertentu seperti tiroid, PCOS dan seumpamanya boleh menyebabkan gangguan haid.


Anda boleh mendapatkan bantuan doktor (sama ada pakar sakit puan atau pakar perubatan endokrinologi) untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan gangguan haid anda itu. Buat sementara waktu, ubat mengandungi hormon progestin dan seumpamanya mungkin akan diberikan. Bukan mudah untuk mencapai berat badan ideal jika tiada kesungguhan dalam mengawal pengambilan makanan dan menjalani senaman fizikal secara rutin.


Setiap orang juga mempunyai tekanan dalam fasa hidup mereka. Lazimnya respons negatif tubuh terhadap tekanan ini tidak bertahan lama, bergantung kepada sikap atau tindak balas kita menanganinya. Kadangkala kita mungkin memerlukan bantuan tambahan sama ada daripada buku keagamaan dan motivasi, rakan, keluarga atau ahli profesional. Membiarkan sesuatu masalah menghantui diri kita hanya akan memberi lebih tekanan dan kesan negatif saja.

0 comments: