Sakit tulang pinggul selepas bersalin

SAYA bersalin pada 16 Ogos tahun lalu secara normal. Bayi perempuan saya beratnya 3.84 kilogram.

Tinggi badan saya kira-kira 148 sentimeter. Masalahnya sekarang, saya masih terasa sakit pada bahagian tulang pinggul walaupun sudah enam bulan melahirkan anak. Saya terasa sakit setiap kali hendak berjalan dan membongkok. Hendak mengangkat bayi saya pun menjadi kesukaran.


Saya dinasihatkan untuk menjalani ujian sinaran-x pada tulang pinggul tetapi tidak dapat mengesan apa-apa. Saya juga pernah melakukan imbasan MRI dan tiada kecederaan dikesan. Doktor menasihatkan saya membuat senaman tetapi saya rasa sakit hingga sekarang. Adakah kerana bayi terlalu besar boleh menyebabkan tulang pinggul saya sakit? Apakah nasihat doktor?

YUS,
Kuala Lumpur.

BAGI ketinggian seperti anda, berat anak yang dilahirkan seperti bayi anda lazimnya melalui proses bersalin yang panjang dan sukar. Ini kerana ketinggian yang kurang mencukupi (di bawah 150 sentimeter atau lima kaki) sering dikaitkan dengan saiz ruang pelvis yang juga kecil sehingga menyukarkan posisi kepala bayi dan 'perjalanannya' sewaktu dilahirkan.


Anda boleh mendapatkan laporan lanjut daripada doktor yang menyambut kelahiran dulu. Kemungkinan trauma otot lantai pelvis yang juga mengandungi urat darah dan saraf berlaku sewaktu kelahiran dulu. Ini sukar dikesan sekarang. Diatesis sendi tulang pinggul boleh berlaku dari waktu kehamilan dulu lagi bagi menampung saiz janin dikandung, sehingga menyebabkan susunannya tidak lagi selari dan memberi kesan kepada otot berhampiran. Apabila berjalan (otot digunakan), kedudukan sendi yang 'lari' ini boleh menyebabkan kesakitan. Pemeriksaan doktor pakar ortopedik atau pakar sakit puan boleh membantu mengesannya.

0 comments: